Amalan Demokrasi Dalam Koperasi Sekolah
BEKERJA Bersama-Sama Demi Manfaat Bersama”, falsafah pegangan yang amat berguna buat semua anggota koperasi, membawa kita kepada gerakan koperasi yang amat kukuh dan dikenali masa kini. Kini sumbangan koperasi dikatakan sebagai penyumbang ekonomi ketiga terpenting dalam ekonomi negara dengan kumpulan nilai aset dan juga modal saham anggota yang menghampiri nilai sebanyak RM15.6 bilion. Kalau dilihat dari sudut koperasi sekolah, hasil cetusan idea dan pemikiran Tokoh Koperasi Negara, Prof. Diraja Ungku A. Aziz selaku Yang Dipertua ANGKASA pada tahun 1968, telah menunjukkan perkembangan drastik terhadap penubuhan koperasi sekolah yang didaftarkan di bawah Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK).
Bilangan koperasi sekolah yang menjadi ahli ANGKASA telah mencecah kepada 1326 buah koperasi daripada jumlah besar yang sebenarnya mendaftar di bawah JPK sebanyak 1472 buah koperasi sekolah di seluruh Malaysia. Ini berdasarkan statistik sehingga April 2004. Dalam koperasi sekolah sahaja kita boleh bayangkan betapa besarnya sumbangan koperasi kepada negara. Walaupun pada asalnya penubuhan koperasi sekolah adalah berasaskan kepada pendidikan peringkat awal kepada bakal-bakal pelapis kepimpinan koperasi dan negara.
Gerakan koperasi yang mantap tidak kira koperasi dewasa mahupun koperasi sekolah, kesemuanya memerlukan satu struktur atau sistem pentadbiran koperasi yang baik dan teratur. Pemilihan penggunaan sistem pentadbiran dan pengurusan ‘bawah ke atas’ yang mana anggota-anggota koperasi mempunyai kuasa tertinggi dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan juga dalam menentukan barisan kepimpinan koperasi pada setiap tahun, ternyata menjelaskan kepada kita bahawa sistem pentadbiran dan pengurusan ini adalah satu sistem yang cukup unik dan berkesan.
Sistem pentadbiran dan pengurusan yang dimaksudkan adalah sistem demokrasi. Mungkin masih terdapat di antara kita yang belum jelas dengan maksud demokrasi. Sebenarnya perkataan tersebut berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘Demos’ dan ‘Kratos’ yang membawa maksud kekuasaan rakyat (Edward Hymas, 1973). Selain itu, demokrasi juga dapat diertikan sebagai satu bentuk pemerintahan daripada rakyat (J.Roland Pennock, 1979).
Demokrasi dalam koperasi merujuk kepada sistem atau nilai yang diamalkan dalam pentadbiran dan pengurusan koperasi. Di mana terdapatnya hak yang sama di antara anggota iaitu satu anggota satu undi dan tiada sebarang sekatan atau halangan dalam menentukan arah tuju perjalanan satu-satu koperasi. Asalkan berteraskan kepada Akta Koperasi 1993 (Akta 502), Peraturan-Peraturan Koperasi 1995, Undang-Undang Kecil Koperasi dan juga lain-lain undang-undang yang wujud di negara ini.
Demokrasi juga telah menjadi asas kepada salah satu daripada tujuh Prinsip Koperasi yang telah diluluskan oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) pada tahun 1995, yang telah menjadi gagasan terhadap pergerakan koperasi dalam memenuhi kehendak dan keperluan seluruh anggota koperasi yang terdiri daripada pelbagai jenis dan fungsi koperasi.
Pada umumnya, prinsip ini jelas dapat dilihat perlaksanaannya, misalnya semasa Mesyuarat Agung Koperasi. Kesemua anggota koperasi seharusnya hadir untuk menilai prestasi, merancang dan menentukan dasar serta memilih pemimpin koperasi yang bakal menerajui perjalanan dan penelitian dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh anggota. Jika diteliti dalam skop yang lebih kecil iaitu dari segi pemilihan pemimpin koperasi atau lebih dikenali sebagai Anggota Lembaga Koperasi (ALK).
Pemilihannya berdasarkan kepada kelayakan seseorang anggota koperasi itu sendiri mengikut Undang-Undang Kecil Koperasi (UUK) masing-masing. Selain daripada itu, kelayakan dari segi latar belakang pendidikan, kemahiran dan kesesuaian menjalankan tugas juga diambil kira. Akhirnya, setelah pencalonan dilakukan maka proses pemilihan secara undi oleh anggota koperasi (satu anggota satu undi) dilakukan secara adil semasa Mesyuarat Agung Koperasi.
Sejauhmanakah amalan demokrasi ini dipraktikkan oleh koperasi? Ini satu persoalan yang tidak mungkin dapat diselesaikan. Malah, kita sendiri sahaja yang dapat melihat sejauhmana kebenarannya yang wujud dalam koperasi sekolah masing-masing. Sebagai contoh, cuba kita teliti sistem yang diamalkan oleh koperasi sekolah. Adakah amalan demokrasi wujud dalam satu-satu pentadbiran dan pengurusan koperasi sekolah? Nilai-nilai asas (pemikiran) iaitu nilai demokrasi yang seharusnya diamalkan oleh setiap koperasi sama ada koperasi dewasa ataupun koperasi sekolah, adakah diamalkan?
Persoalan ini timbul disebabkan tercetusnya isu pertelingkahan antara perkataan ‘pemilihan’ dan ‘perlantikan’ yang banyak dipersoalkan dalam mana-mana koperasi sekolah di seluruh negara terutama oleh guru-guru yang menguruskan koperasi. Mereka dikatakan terikat dengan pekeliling-pekeliling Kementerian Pendidikan dan juga arahan-arahan ketua pentadbiran di sekolah masing-masing iaitu Pengetua sekolah.
Tujuan persoalan ini diketengahkan bertujuan untuk memberi gambaran dan juga mencari satu penyelesaian yang dapat mengatasi segala isu dan juga desas-desus yang kerap timbul di kalangan guru-guru sekolah pada masa dahulu dan kini. Terutamanya bagi guru-guru baru berkhidmat, yang akhir-akhir ini ramai telah dilantik oleh Pengetua terlebih dahulu. Kemudian barulah pemilihan secara rasmi dibuat semasa Mesyuarat Agung Koperasi sekolah, yang mana kebanyakan anggotanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang hanya tahu menurut arahan semata-mata. Seolah-olah dalam koperasi sekolah sistem autokrasi yang diamalkan, bukannya sistem demokrasi seperti yang diperjuangkan oleh koperasi.
– ROSLAN YAACOB @ OMAR
|
|
|
No comments:
Post a Comment